Dec 17, 2008

Laporan Berita Online Bernama

Najib Dijangka Sampai Ucaptama Pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyampaikan ucaptama pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) selama empat hari yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur mulai 19 Jan depan (telah dipinda ke tarikh 12-15 Jan. 2009).

Ucaptama itu bertajuk "Menggerak Potensi dan Memperkasa Ekonomi Ummah: Strategi Ke Arah Pembangunan Ummah Yang Gemilang".

Beberapa Menteri Kabinet dan Menteri Besar dijangka turut menyampaikan kertas kerja masing-masing termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang lain ialah Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, penganjuran kongres tersebut amat bertepatan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa ini dan ia bertujuan untuk memperkasakan sistem ekonomi Islam sebagai sistem ekonomi global.

"Penganjuran kongres ini boleh menjadi wadah untuk menilai kembali resolusi Kongres Ekonomi Islam Kedua (1972) dan Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga (1992) berhubung aspek yang berkait dengan pembangunan ekonomi Islam di negara ini.

"Ia juga wajar dilihat sebagai usaha pemantapan dan pengukuhan agenda seperti yang digariskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera, sekaligus menjadi pelengkap kepada usaha berterusan pihak kerajaan bagi menjadikan dasar, perancangan dan program ekonomi negara selaras dengan kehendak Islam," katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran kongres itu, di sini hari ini.

Mashitah berkata, sebanyak 10 kertas kerja akan dibentangkan oleh 35 pembentang dari dalam dan luar negara dan meliputi pelbagai perspektif seperti kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan universiti.

Mashitah berkata Festival Pembangunan Ekonomi Islam 2009 (i-FEST 09) akan turut diadakan sempena kongres itu, di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur dari 22 hingga 25 Jan.

"Festival ini diadakan sebagai platform untuk menyampaikan maklumat termasuk mempromosikan perkhidmatan atau produk syarikat-syarikat terbabit kepada masyarakat.

Ia juga merupakan platform yang sesuai untuk membuat pemadanan sekaligus mewujudkan jaringan perniagaan di kalangan usahawan Muslim dan institusi atau badan yang menawarkan produk dan perkhidmatan usahawan," katanya.-- BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=372959

0 comments:


Kongres Ekonomi Islam Ketiga yang bertema; "Menggerak Potensi Dan Memperkasa Ekonomi Ummah" akan berlangsung pada 12-15 Januari 2009 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan dunia Putra (PWTC).

Kertas Kerja Iringan

Pihak Sekretariat KEI-3 memohon penyertaan ahli akademik, professional, pelajar serta orang ramai untuk menghasilkan kertas kerja iringan berdasarkan tajuk-tajuk pembentangan KEI-3. Kertas kerja iringan tersebut bolehlah dihantar ke email : kei3@yapeim.net.my

Maklumat lanjut kertas kerja iringan KEI-3 sila Klik

Hubungi Kami

Sekretariat Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)
Talian: 03-2273 8005
Faks: 03-2273 2593
Email: kei3@yapeim.net.my
Laman Web: www.yapeim.net.my

Taqwim

Pelawat

Template by KangNoval & Abdul Munir | blog Blogger Templates