Jan 9, 2009

KEI-3 Gagasan Garap Potensi Ekonomi Ummah

Oleh Hasliza Hassan
Berita Harian, 9 Jan. 2009
ABDUL Malek melihat program KEI-3 yang
berlangsung dari 12 hingga 15 Januari ini di
Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra.

Landasan muhasabah diri tangani masalah serta merancang masa depan gemilang

KONGRES Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) bertemakan 'Menggerak Potensi Memperkasa Ekonomi Ummah' yang berlangsung dari 12 hingga 15 Januari ini di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, amat menarik.

Ia kerana penekanan yang bakal diberi pada persidangan tiga hari anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Majlis Perundingan Islam Jabatan Perdana Menteri itu ialah menggarap semua potensi yang dimiliki ummah dalam pelbagai bentuk untuk maju.

Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abdul Malek Awang Kechil, berkata umat Islam sebenarnya mempunyai potensi dan kekuatan, tetapi tidak diterjemahkan dalam kehidupan menyebabkan mereka hanya menjadi pelopor, bukan juara dalam bidang yang dipelopori.

Katanya, perlu ada usaha memastikan setiap potensi serta kekuatan yang ada pada umat Islam digerakkan ke tahap memberi manfaat besar bukan saja kepada umat Islam, malah seluruh dunia.

"Di sebalik tanggapan negatif yang sering diberi kepada umat Islam, kita perlu akui kebanyakan program berteraskan Islam yang diperkenalkan bukan saja diterima umat Islam, malah diiktiraf bukan Islam. Kita lihat ini sebagai kekuatan ummah.

"Bagaimanapun, kekuatan yang kita ada tidak digali, digarap, digerak dan diterjemahkan dalam kehidupan sebenar termasuk perniagaan.
"Diharap KEI-3 dapat mencetuskan semangat untuk bersepadu menggerak potensi, benda yang kita ada dan maju ke depan," katanya.
Beliau berkata, KEI-3 juga diharap berupaya memberi suntikan baru kepada landskap masa depan pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam di negara ini seterusnya memberi lonjakan baru kepada institusi yang berperanan melaksanakan agenda pembangunan ekonomi Islam.
KEI-3 adalah inisiatif YaPEIM untuk meneruskan agenda memperkasa serta memperkukuhkan ekonomi umat Islam supaya dapat digerakkan secara bersatu padu berdasarkan potensi yang dikenal pasti.

Ia juga dilihat sebagai wadah untuk menilai kembali resolusi Kongres Ekonomi Islam Kedua dalam aspek pembangunan ekonomi Islam di negara ini, sekali gus menjadi pelengkap usaha kerajaan menjadikan dasar, perancangan serta program ekonomi selaras kehendak Islam.
KEI-3 dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan majlis penutupnya akan disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Sebanyak 35 kertas kerja yang dibahagikan kepada sembilan tajuk dibentang pada kongres berkenaan.
Antaranya 'Penerokaan Bidang Ekonomi yang Strategik; Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan dan Penerokaan Berkesan dalam Pasaran Global' serta 'Memperkasa Institusi Pembangunan Ekonomi dan Penggemblengan Dana Ummah dan Memantapkan Budaya Keusahawanan di Kalangan Generasi Baru'.
Seramai 350 peserta terdiri daripada pemimpin, tokoh pemikir, cendekiawan, ahli korporat, ulama serta wakil pertubuhan bukan kerajaan dijangka hadir. Kongres berkenaan turut dihadiri kira-kira 600 pemerhati.
Menjawab persoalan mengenai tempoh agak lama iaitu 37 tahun untuk menganjurkan KEI-3, Abdul Malek berkata, jarak itu bukan satu masalah kerana vakum yang memisahkan diisi oleh penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang turut membahaskan persoalan berkaitan Islam.
Katanya, resolusi dicapai daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan pada 1965, 1969, 1992 dan terakhir 1999, dianggap pelengkap dan pengukuhan kepada agenda pembangunan ekonomi daripada perspektif Islam di negara ini.
"YaPEIM mencetuskan inisiatif ini kerana kita sentiasa melihat persoalan ummah dan pada masa sama memikir untuk memperkasa ummah.
"KEI-3 antara usaha kita hasil perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Harapan YaPEIM ialah menjadikan perbincangan pada kongres kali ini sebagai momentum baru yang akan menggerakkan potensi ummah.
"Masyarakat dunia sedang mencari potensi sedangkan kita sudah ada, jadi kita tak mahu terlepas peluang ini," katanya.
Beliau berkata, jika KEI-2 diadakan di Kolej Islam Malaya pada 1972 berjaya menghasilkan resolusi penting yang berupaya membawa perubahan kepada corak pembangunan ekonomi Islam di negara ini antaranya penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), institusi kewangan Islam serta YaPEIM sendiri, diharap KEI-3 turut menjadi penggerak kepada pencapaian lebih baik pada masa akan datang.
Abdul Malek berkata, tidak dinafikan bagi menggerak usaha meningkatkan ekonomi ummah bukan mudah kerana cabaran utama adalah menelah apa yang bakal berlaku pada masa depan kerana matlamat KEI-3 bukan saja masa kini tetapi untuk generasi akan datang.
Bagaimanapun, katanya dengan semangat serta kesatuan pemikiran semua pihak yang bakal mengambil peranan, umat Islam mampu menggerakkan potensi serta kekuatan yang dimiliki untuk menghasilkan keputusan diharapkan.
Katanya, KEI-3 adalah landasan untuk ummah bermuhasabah diri melihat status serta potensi yang dicapai serta boleh dipertingkatkan dan pada masa sama memperkasa keutuhan umat bagi menangani persoalan semasa serta era masa depan.
"Memang kita kata dalam empat hari apa yang boleh dibuat, tetapi sekurang-kurangnya kita mendapat satu gagasan daripada misi utama dan YaPEIM akan terus menghulurkan kepakaran serta menyokong usaha daripada kongres ini," katanya.

Jan 1, 2009

Pengenalan KEI-3

Kongres Ekonomi Islam Kedua yang telah berlangsung di Kolej Islam Malaya pada tahun 1972, berlangsung dengan jayanya dan telah menghasilkan resolusi-resolusi penting, sekaligus berupaya membawa perubahan kepada corak pembangunan ekonomi Islam di negara ini. Antara institusi yang ditubuhkan hasil gagasan dan resolusi Kongres tersebut ialah perlunya institusi pengajian tinggi Islam seperti Universiti Islam (Universiti Islam Antarabangsa), institusi kewangan Islam seperti Bank Islam (Bank Islam Malaysia Berhad) dan institusi pembangunan sosioekonomi seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang telah berlangsung sebanyak empat kali (1965, 1969, 1992 dan 1999) boleh dianggap sebagai langkah pelengkap dan pengukuhan kepada agenda pembangunan ekonomi dari perspektif Islam di negara ini. Kenyataan ini secara jelas dapat dilihat daripada resolusi-resolusi yang disepakati sempena kongres berkenaan.

Secara makronya Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga (1992) turut membahas dan memutuskan agenda pembangunan ekonomi Islam. Namun begitu terdapat beberapa resolusi khusus yang terkait dengan cadangan pemerkasaan program keislaman di negara ini, seperti yang terkandung dalam Resolusi 30 (nilai Islam dan etika niaga), Resolusi 32 (cara-cara pengutipan zakat), Resolusi 33 (diselaraskan penggunaan Tabung Baitulmal), Resolusi 34 (penerapan nilai-nilai Islam dilaksanakan melalui sekolah dan institusi pengajian tinggi), Resolusi 35 (digemblengkan sepenuhnya semua bentuk institusi Islam (masjid)) dan Resolusi ke 39 (supaya kerajaan menimbangkan pindaan ke atas yang berkenaan untuk membolehkan amaun zakat yang dibayar oleh syarikat-syarikat bumiputera dikecualikan daripada cukai korporat, sepertimana pembayaran zakat individu).

Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga (KEB-3) juga secara khusus turut menyarankan agar Kongres Ekonomi Islam diadakan, seperti yang diputuskan melalui Resolusi ke 37 kongres berkenaan.

Rasional dan Harapan Penganjuran KEI-3

Berasaskan latarbelakang dan perkembangan seperti yang dikemukakan di para 2 di atas, maka secara dasarnya penganjuran KEI-3 ini dijangka akan berupaya memberi suntikan baru kepada lanskap masa depan pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam di negara ini. Pada masa yang sama KEI-3 juga dijangka akan membantu memberi lonjakan baru kepada peranan institusi yang terlibat secara khusus dalam memantap dan meningkatkan pelaksanaan agenda ekonomi Islam di negara ini. Pada masa yang sama KEI-3 juga dijangka akan membantu member lonjakan baru kepada peranan institusi yang terlibat secara khusus dalam memantap dan meningkatkan pelaksanaan agenda ekonomi Islam di Negara ini. Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang telah berlangsung sebanyak empat kali boleh dianggap sebagai langkah pelengkap dan pengukuhan kepada agenda pembangunan ekonomi dari perspektif Islam di negara ini. Kenyataan ini secara jelas dapat dilihat daripada resolusi-resolusi yang disepakati sempena kongres berkenaan.

Di antara rasional khusus dan harapan (expectation) daripada penganjuran KEI-3 ini adalah seperti berikut:

a) Penganjuran Kongres Ekonomi Islam Kedua yang telah berlangsung pada tahun 1972, dilihat sebagai berjaya menghasilkan resolusi yang relevan dan realistik. Atas dasar itu, penganjuran Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) akan dilihat sebagai satu kesinambungan yang sangat relevan dan significant.

b) Penganjuran KEI-3 dilihat boleh menjadi wadah untuk menilai kembali Resolusi Kongres Ekonomi Islam Kedua (1972) dan Resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga (1992) dan Keempat (1999) berhubung dengan aspek khusus yang terkait dengan Pembangunan Ekonomi Islam di negara ini.

c) Penganjuran KEI-3 wajar dilihat sebagai usaha pemantapan dan pengukuhan agenda seperti yang digariskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), sekaligus menjadi pelengkap kepada usaha yang berterusan pihak kerajaan bagi menjadikan dasar, perancangan dan program ekonomi negara selaras dengan kehendak Islam.

Langkah ini juga dianggap sangat penting seiring dengan komitmen kerajaan mewujudkan kualiti hidup yang tinggi serta komitmen melahirkan warga negara yang mempunyai sikap dan pemikiran kelas pertama menjelang 2020 (Negara maju 2020).

Penganjur KEI-3

Berdasarkan rasional dan harapan (expectation) seperti yang dikemukakan di para 2 di atas, maka YaPEIM rasa terpanggil untuk menganjur KEI-3 ini. Bagi memastikan kejayaan KEI-3 ini,
adalah dirancangkan KEI-3 ini dianjurkan dan diurusetia secara bersama oleh :-

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)

DAN

Majlis Perundingan Islam, JAKIM
Jabatan Perdana Menteri

Objektif Penganjuran KEI-3

  • Sebagai platform untuk menilai pencapaian dan menambahbaik hasil resolusi Kongres Ekonomi Islam Kedua dan Kongres-Kongres Ekonomi Bumiputera terdahulu yang terkait dengan kepentingan ummah secara umumnya.

  • Sebagai suatu usaha yang serius dalam menggarap semua potensi yang dimiliki ummah dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk dana, hasil penyelidikan mahupun peluang yang boleh dimanfaatkan.

  • Sebagai medium yang sesuai dalam merumuskan ide dan pendekatan baru yang berkesan sebagai usaha memperkasa ekonomi ummah sebagai persiapan dalam menghadapi era baru perkembangan ekonomi.

Perasmian Pembukaan dan Penutupan KEI-3


Majlis Perasmian Pembukaan KEI-3 pada 12 Januari 2009 akan disempurnakan oleh:

YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Manakala Majlis Perasmian Penutup pada 15 Januari 2009 pula akan disempurnakan oleh:


Duli Yang Teramat Mulia,
Raja Muda Perak Darul Ridzuan,
Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Penyertaan

Penyertaan KEI-3 akan dibuat berasaskan jemputan khas kepada kepimpinan negara dan semua tokoh pemikir, cendiakawan, ulamak, kepimpinan politik, wartawan, korporat, usahawan, budayawan dan karyawan serta wakil institusi dan badan bukan kerajaan, yang berminat dan berperanan di dalam usaha membangun ekonomi ummah di negara ini dari pelbagai sektor tanpa mengira perbezaan faham politik, latarbelakang sosiobudaya dan etnik. Penyertaan dianggarkan sekitar 350 orang.

Tempat Dan Tarikh

Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) akan berlangsung pada tarikh dan tempat berikut:

Tarikh : 12 hingga 15 Januari 2009

Tempat : Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur

Kongres Ekonomi Islam Ketiga yang bertema; "Menggerak Potensi Dan Memperkasa Ekonomi Ummah" akan berlangsung pada 12-15 Januari 2009 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan dunia Putra (PWTC).

Kertas Kerja Iringan

Pihak Sekretariat KEI-3 memohon penyertaan ahli akademik, professional, pelajar serta orang ramai untuk menghasilkan kertas kerja iringan berdasarkan tajuk-tajuk pembentangan KEI-3. Kertas kerja iringan tersebut bolehlah dihantar ke email : kei3@yapeim.net.my

Maklumat lanjut kertas kerja iringan KEI-3 sila Klik

Hubungi Kami

Sekretariat Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)
Talian: 03-2273 8005
Faks: 03-2273 2593
Email: kei3@yapeim.net.my
Laman Web: www.yapeim.net.my

Taqwim

Pelawat

Terkini

Terkini
Mesyuarat Jawatan Kuasa Induk, 19/11/2008 bertempat di Dewan Syura, Bangunan JAKIM, Putrajaya.

Mesyuarat dihadiri oleh ahli-ahli akademi, politik dan professional.
Template by KangNoval & Abdul Munir | blog Blogger Templates