Jan 9, 2009

KEI-3 Gagasan Garap Potensi Ekonomi Ummah

Oleh Hasliza Hassan
Berita Harian, 9 Jan. 2009
ABDUL Malek melihat program KEI-3 yang
berlangsung dari 12 hingga 15 Januari ini di
Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra.

Landasan muhasabah diri tangani masalah serta merancang masa depan gemilang

KONGRES Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) bertemakan 'Menggerak Potensi Memperkasa Ekonomi Ummah' yang berlangsung dari 12 hingga 15 Januari ini di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, amat menarik.

Ia kerana penekanan yang bakal diberi pada persidangan tiga hari anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Majlis Perundingan Islam Jabatan Perdana Menteri itu ialah menggarap semua potensi yang dimiliki ummah dalam pelbagai bentuk untuk maju.

Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abdul Malek Awang Kechil, berkata umat Islam sebenarnya mempunyai potensi dan kekuatan, tetapi tidak diterjemahkan dalam kehidupan menyebabkan mereka hanya menjadi pelopor, bukan juara dalam bidang yang dipelopori.

Katanya, perlu ada usaha memastikan setiap potensi serta kekuatan yang ada pada umat Islam digerakkan ke tahap memberi manfaat besar bukan saja kepada umat Islam, malah seluruh dunia.

"Di sebalik tanggapan negatif yang sering diberi kepada umat Islam, kita perlu akui kebanyakan program berteraskan Islam yang diperkenalkan bukan saja diterima umat Islam, malah diiktiraf bukan Islam. Kita lihat ini sebagai kekuatan ummah.

"Bagaimanapun, kekuatan yang kita ada tidak digali, digarap, digerak dan diterjemahkan dalam kehidupan sebenar termasuk perniagaan.
"Diharap KEI-3 dapat mencetuskan semangat untuk bersepadu menggerak potensi, benda yang kita ada dan maju ke depan," katanya.
Beliau berkata, KEI-3 juga diharap berupaya memberi suntikan baru kepada landskap masa depan pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam di negara ini seterusnya memberi lonjakan baru kepada institusi yang berperanan melaksanakan agenda pembangunan ekonomi Islam.
KEI-3 adalah inisiatif YaPEIM untuk meneruskan agenda memperkasa serta memperkukuhkan ekonomi umat Islam supaya dapat digerakkan secara bersatu padu berdasarkan potensi yang dikenal pasti.

Ia juga dilihat sebagai wadah untuk menilai kembali resolusi Kongres Ekonomi Islam Kedua dalam aspek pembangunan ekonomi Islam di negara ini, sekali gus menjadi pelengkap usaha kerajaan menjadikan dasar, perancangan serta program ekonomi selaras kehendak Islam.
KEI-3 dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan majlis penutupnya akan disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Sebanyak 35 kertas kerja yang dibahagikan kepada sembilan tajuk dibentang pada kongres berkenaan.
Antaranya 'Penerokaan Bidang Ekonomi yang Strategik; Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan dan Penerokaan Berkesan dalam Pasaran Global' serta 'Memperkasa Institusi Pembangunan Ekonomi dan Penggemblengan Dana Ummah dan Memantapkan Budaya Keusahawanan di Kalangan Generasi Baru'.
Seramai 350 peserta terdiri daripada pemimpin, tokoh pemikir, cendekiawan, ahli korporat, ulama serta wakil pertubuhan bukan kerajaan dijangka hadir. Kongres berkenaan turut dihadiri kira-kira 600 pemerhati.
Menjawab persoalan mengenai tempoh agak lama iaitu 37 tahun untuk menganjurkan KEI-3, Abdul Malek berkata, jarak itu bukan satu masalah kerana vakum yang memisahkan diisi oleh penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang turut membahaskan persoalan berkaitan Islam.
Katanya, resolusi dicapai daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan pada 1965, 1969, 1992 dan terakhir 1999, dianggap pelengkap dan pengukuhan kepada agenda pembangunan ekonomi daripada perspektif Islam di negara ini.
"YaPEIM mencetuskan inisiatif ini kerana kita sentiasa melihat persoalan ummah dan pada masa sama memikir untuk memperkasa ummah.
"KEI-3 antara usaha kita hasil perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Harapan YaPEIM ialah menjadikan perbincangan pada kongres kali ini sebagai momentum baru yang akan menggerakkan potensi ummah.
"Masyarakat dunia sedang mencari potensi sedangkan kita sudah ada, jadi kita tak mahu terlepas peluang ini," katanya.
Beliau berkata, jika KEI-2 diadakan di Kolej Islam Malaya pada 1972 berjaya menghasilkan resolusi penting yang berupaya membawa perubahan kepada corak pembangunan ekonomi Islam di negara ini antaranya penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), institusi kewangan Islam serta YaPEIM sendiri, diharap KEI-3 turut menjadi penggerak kepada pencapaian lebih baik pada masa akan datang.
Abdul Malek berkata, tidak dinafikan bagi menggerak usaha meningkatkan ekonomi ummah bukan mudah kerana cabaran utama adalah menelah apa yang bakal berlaku pada masa depan kerana matlamat KEI-3 bukan saja masa kini tetapi untuk generasi akan datang.
Bagaimanapun, katanya dengan semangat serta kesatuan pemikiran semua pihak yang bakal mengambil peranan, umat Islam mampu menggerakkan potensi serta kekuatan yang dimiliki untuk menghasilkan keputusan diharapkan.
Katanya, KEI-3 adalah landasan untuk ummah bermuhasabah diri melihat status serta potensi yang dicapai serta boleh dipertingkatkan dan pada masa sama memperkasa keutuhan umat bagi menangani persoalan semasa serta era masa depan.
"Memang kita kata dalam empat hari apa yang boleh dibuat, tetapi sekurang-kurangnya kita mendapat satu gagasan daripada misi utama dan YaPEIM akan terus menghulurkan kepakaran serta menyokong usaha daripada kongres ini," katanya.

0 comments:


Kongres Ekonomi Islam Ketiga yang bertema; "Menggerak Potensi Dan Memperkasa Ekonomi Ummah" akan berlangsung pada 12-15 Januari 2009 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan dunia Putra (PWTC).

Kertas Kerja Iringan

Pihak Sekretariat KEI-3 memohon penyertaan ahli akademik, professional, pelajar serta orang ramai untuk menghasilkan kertas kerja iringan berdasarkan tajuk-tajuk pembentangan KEI-3. Kertas kerja iringan tersebut bolehlah dihantar ke email : kei3@yapeim.net.my

Maklumat lanjut kertas kerja iringan KEI-3 sila Klik

Hubungi Kami

Sekretariat Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)
Talian: 03-2273 8005
Faks: 03-2273 2593
Email: kei3@yapeim.net.my
Laman Web: www.yapeim.net.my

Taqwim

Pelawat

Terkini

Terkini
Mesyuarat Jawatan Kuasa Induk, 19/11/2008 bertempat di Dewan Syura, Bangunan JAKIM, Putrajaya.

Mesyuarat dihadiri oleh ahli-ahli akademi, politik dan professional.
Template by KangNoval & Abdul Munir | blog Blogger Templates